Thursday, February 2, 2012

RAJA DAN SULTAN

Raja berperlembagaan adalah kerajaan yang ditubuhkan di bawah sistem berpelembagaan yang mengiktiraf Raja sebagai ketua Negara. Ini bermaksud Raja hanyalah ketua simbolik di dalam rangkaian eksekutif dan kuasanya adalah terhad oleh perlembagaan sesebuah negara. Apabila seorang Raja mempunyai kuasa pemerintahan yang penuh ia dipanggil "absolute monarchy".

Di Malaysia, begitu pentingnya istilah raja ini hinggakan ia juga merangkumi kehidupan seharian masyarakat setempat dan juga pada nama-nama tempat seperti Parit Raja, Istana Raja, Jalan Raja, Masjid Raja, Bendang Raja, Bukit Raja dll. Pasukan keselamatan kita turut juga menggunakan istilah raja seperti Polis Di Raja Malaysia, Tentera Udara Di Raja Malaysia dll. Adakah ada kemungkinan dimasa depan akan diadakan Parit Sultan, Bukit Sultan atau Polis Di Sultan Malaysia sebagai satu kaedah menutup sejarah khalifah Islam, kita tunggu dan lihat..

Kenapakah istilah Raja ini begitu penting dalam negara kita? Kenapakah tidak disebut sultan sedangkan sultan merupakan gelaran bagi setiap monarki (kecuali Perlis) di Malaysia hari ini. Dalam sejarah kita, Raja Iskandar Zulkarnain pun digelar raja, bukannya sultan. Lebih mudah utk kita fahami, Raja itu bermaksud “King” dan bukanya Sultan seperti gelaran yang digunakan pada hari ini.

Manuskrip Melayu “Undang-Undang Kedah”, sebuah manuskrip melayu yang tidak diedit, dirampas oleh Inggeris dan di pulangkan sekitar tahun 2003 lalu diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2005 mempunyai interpretasinya yang tersendiri,

“ Fasal pada menyatakan faedah raja-raja di dalam negeri. Maka tiap-tiap raja itu mengadakan ia perkerjaan dan suruh-suruhan seperti tandil dan penghulu pada khalifah, mata-mata dan bendahara pada majlis balai itu dan pada majlis istana Raja iskandar Zulkarnain datang kepada Paduka Seri Sultan yang diatas kerajaan sekarang..” UUK,ms49.

Jelas di zaman UUK ditulis, apabila disebut raja-raja didalam negeri seperti diatas ia bermaksud banyak dan mereka ini menyediakan peluang perkerjaan untuk Khalifah yang memerintah. Raja-Raja yang memakai gelaran Paduka Seri Sultan hanyalah raja kecil atau raja daerah sahaja dan menjadi penghulu kepada Khalifah. Gelaran Khalifah adalah khusus untuk Raja yang lebih besar tarafnya dan memerintah sebuah negara Islam. Hari ini, contoh gelaran Paduka Seri Sultan hanya digunakan di Negeri Perak dan Brunai namun negeri-negeri lain sudah menggugurkan gelaran Paduka Seri ini.

Raja yang mutlak disebut sebagai Raja Maha Besar dan pada ketika itu memakai gelaran Syah Alam Yang Maha Mulia dan sebaik jatuhnya negeri Siam Islam kepada ketua pemberontak General Thaksin dengan bantuan puak Sukhothai Buddha dalam tahun 1767, gelaran itu ditukar kepada Duli Yang di Pertuan Yang Maha Mulia sepertimana tercatat dalam UUK,ms 43.  Dengan sebab itu, dalam membicarakan adat istiadat pertabalan raja, bentara berkata,

"Titah Duli Yang Di Pertuan, Datuk Bendahara titah dipanggil dan Maharaja titah dipanggil. Lepas itu segala datuk-datuk titah di panggil". Maka sakelian menteri hulubalang itu menjawab kata bentara,"Daulat Tuanku" lalu naiklah masing masing duduk pada tempatnya." UUK,ms33

Sejarawan sepatutnya mencari penjelasan siapakah yang dahulunya memakai gelaran ini (sepanjang 6 tahun UUK di terbitkan oleh DBP) dan bukannya mempertikai mana-mana waris yang masih ada. Fakta dalam UUK jelas di depan mata namun masih ada mereka yang buta sejarah, menolak manuskrip Melayu UUK apa tah lagi utk berusaha, mencari dan mengkaji. Pengkaji sejarah sekadar hanya mencungkil semula bukti-bukti yang ada untuk kita semua renungkan bersama. Bukan sejarah bangsa sahaja yang penting, sejarah islam pun penting juga.

“Maka adat ini daripada raja dahulu sampai pada marhum maka turun temurun pada Datuk Besar, turun kepada Datuk Seri paduka, turun kepada Datuk Maharaja Encik yusuf, dikurnia Paduka Marhum mambang akan Datuk Maharaja segala adat ini dan suatu dikurnia pada Datuk Paduka Seri Bongsu, iaitu Datuk Paduka Seri Perdana Menteri Anak Bukit. Inilah keturunan gelar menteri, pegawai, hulubalang adat raja-raja yang sudah dahulu-dahulu itu di peraturkan; pertama gelar paduka itu ertinya saudara kepada raja dan gelar maha itu di dalam kitab Allah taala besar maknanya dan gelar Seri itu ertinya keluarga kepada raja dan gelar Raja itu ertinya sahabat kepada Raja dan gelar Tun itu ertinya sejamu dengan raja dan gelar Sang itu ertinya si anunya aku beri nama, enam jenis inilah keturunan gelar. Akan kweng itu ertinya anjing pada raja. Kepala segala paduka itu Paduka Raja. Akan Datuk Bendahara itu tidak di masukkan kerana ia tunggal seorangnya.” UUK,ms47.



Bergelar Paduka Seri Sultan..

Seterusnya,
“Inilah keturunan gelar menteri pegawai hulubalang adat raja-raja yang sudah dahulu itu. Peraturannya, pertama-tama di gelar “paduka”, ertinya saudara pada raja dan gelar “Maha” itu didalam kitab Allah taala besar maknnya dan gelar “seri” ertinya keluarga kepada raja dan di gelar ini ertinya sahabat pada raja dan kalutan itu ertinya sejamu pada raja dan gelar “sang” itu ertinya si anu. Aku beri nama enam jenis inilah keturunan gelar. Akan kweng itu ertinya anjing pada raja dan nadil itu orang pada raja” UUK,ms30

Maksud saudara dan keluarga kepada raja ini besar maknanya bagi mereka yang memahami soal kekerabatan. Ingatlah, bukannya raja itu keluarga kepada paduka tetapi paduka itu keluarga kepada raja, begitulah juga gelaran seri yang bersaudara dengan Raja. Dari segi hairaki, kita tahu siapa yang lebih besar di sini. Dengan sebab itu, Ahmad Tajuddin Halim Syah ketika mengadap Raja Maha Besar ke Benua Siam hanyalah bergelar Paduka Seri Sultan (UUK,ms 27). 

Persoalannya, jika hari ini mereka bergelar Paduka Seri atau Seri Paduka dan mereka ini saudara dan keluarga kepada Raja, dimanakah Raja kita hari ini? Kenapa mereka bergilir-gilir memegang jawatan Yang Di Pertuan Agong ibarat Malaysia ini sebuah rumah yang tidak bertuan?

Anehnya hari ini, bangsa kweng dan tandil ini pula yang terlebih kuah daripada nasi. Mungkin mereka terlupa asal usul mereka, namun kita ingatkan mereka kembali,

“Demikian lagi seperti yang bangsa raja itu, jika miskin sekali pun dipertengku dan di perpatik juga; maka duduknya pun keataslah kerana ia bangsa raja.”

Hati mereka yang ditutup oleh Allah swt biasanya akan menolak apa bentuk fakta dan alasan sekali pun, lebih-lebih lagi yang mana mereka anggap menentang arus sedia ada hari ini. Mereka sangkakan soal agama dan sejarah itu terpisah, soal kekerabatan dan kedaulatan itu perkara remeh kerana bagi mereka raja yang tidak berkuasa tidak dapat mengapa-apakan mereka dan mereka boleh campur tangan dan mengatakan apa saja sesedap mulut mereka ingin berkata-kata. Tidak mengapa, sedikit pun para waris tidak terjejas, Allah kan ADA.

Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).
Al-Anfal: 22

Disebabkan akal, manusia menjadi bodoh. Ditambah pula dengan pekak dan bisu cukuplah sifat mereka. Antara fakta dan petunjuk Allah mereka asingkan dalam pengkajian, lalu pening lah mereka.Perkataan “maha” yang disebutkan diatas maksudnya besar dalam kitab Allah Taala. Persoalannya Raja Maha Besar yang manakah Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah pergi mengadap pada tahun 1802 itu. Yang kami pasti, Raja Maha Besar itu beragama islam dan baginda ialah Syarif Yang Di Pertuan dan pada ketika itu bersemayam di Istana Kota Mengkuang berhampiran Bandar Darulaman sebelum dibunuh tentera musuh pada tahun Musuh Bisik 1821.

Kita juga tahu bahawa baginda Yang Di Pertuan Syarif Syah berkuasa penuh sekitar tahun 1779 sepertimana tercatat dalam UUK,ms 43 dan bagindalah yang melantik Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah sebagai Tengku Laksemana kerana Ahmad Tajuddin Halim Syah adalah cucu saudara Yang Di Pertuan Syarif Syah dari isteri bukan gahara Sultan Mohd Jiwa, Perdana Menteri Kedah ketika itu. Tidak perlu untuk kita mengagungkan seorang raja yang kafir jika ia menggunakan gelaran Maha sekali pun kerana ia bukan beragama islam.

“Dan, kebesaran syarif dan menteri pada masa membaca surat utusan duduknya diatas panglima negeri. Pada masa itu ialah raja” UUK,ms42.

Raja Maha Besar ke Benua Siam di sebut di muka surat 28 lantas penjelasannya dapat dilihat ms45 fasal aturan duduk di balairong seri.

“..jikalau asal menteri khas bergelar Seri, jikalau asal menteri am bergelar Paduka, sama tara duduknya. Jika bergelar maha menteri am sama tara (duduknya) dengan menteri khas (tapi) bergelar raja”.

Contohnya, Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, Raja Kuala Muda, hanyalah bertaraf menteri bukannya sultan. Ini dapat dilihat dalam UUK,ms 15 dimana disebut Raja Pattani, Raja Perak, Raja Ligor, Raja Merdelang, dan Raja Singgora. Jelas, dizaman dahulu gelaran Paduka Seri Sultan dan diikuti dengan nama mereka adalah raja daerah bertaraf menteri dan bukannya Sultan Kedah. Tujuan Yam Tuan Syarif disebut sebagai Raja Ligor dalam sejarah Kedah selama ini adalah untuk menutup taraf kebesarannya dan kewujudannya.

Memang mudah mengatakan biarkan sejarah yang lepas berlalu pergi namun, akuilah dulu peranan Syarif Yang Di Pertuan Kedah (juga disebut Yamtuan) dalam Sejarah Kesultanan Kedah. Elok juga mereka ini sekiranya mengaku beragama Islam menyemak semula apa itu Khutbah Widak.Lagi pun umur semakin meningkat, apa salahnya memperjuangkan sejarah Khalifah islam, pahala pun dapat, keredhaan Allah pun dapat, melainkan mereka ada agenda tersembunyi.