Sunday, May 6, 2007

Arahan membakar Hikayat Merong Maha Wangsa

Oleh: Naim Firdausi

Pegawai Tertinggi Thai (atau Siam?) di Legor memerintahkan naskah-naskah Hikayat Merong Mahawangsa dibakar habis-habisan kerana terkandung di dalamnya Raja Siam berasal dari Kedah dan negeri Siam juga diasaskan oleh Raja Kedah. James Low mengakui beliau menerima satu manuskrip hikayat itu daripada Sultan Ahmad Tajuddin pada tahun 1821 iaitu tahun serangan musuh ke atas Kedah yang dahsyat dan memusnahkan segala-galanya.

Di Muzium Kedah pula tersimpan naskah asli tulisan tangan Hikayat Merong Maha Wangsa versi R.J. Wilkinson. Manakala yang lain diketahui berada dalam simpanan di beberapa perpustakaan barat seperti di Perpustakaan Bodleian, University Oxford dan dua versi Maxwell di Perpustakaan British Museum, London dan seharusnya satu versi von de Wall berada di Museum Nasional Jakarta.[1] Sejarah pembukaan negeri Benua Siam (nama lain Benua Siam ialah Shari Nuwi/Kota Baru) masih diceritakan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa versi R.J. Wilkinson seperti berikut:

"...maka beberapa dilihat oleh anak Raja akan segala ajaib-ajaib hingga sampai dua ratus hari berjalan itu sambil bermain juga sekalian baharulah bertemu dan berhenti pada tanah yang baik kepada suatu anak sungai airnya lepas ke laut lagipun tanahnya rata orang pun banyak juga maka di situlah sekelian berbuat istana dengan kota parit serta dihimpunkan segala orang yang duduk bertaburan pecah belah itu maka disatukan sekalian maka menjadi negeri besarlah maka dinamai negeri itu Siam Lancang tempat membuat kota istana itu maka datanglah orang berkhabarkan kepada Raja Merong Maha Pudisat" Hikayat Merong Mahawangsa versi R.J. Wilkinson 1889 ms 37


http://www.naim-firdausi.blogspot.com/

No comments: